Pemikir Amatur?

Semua orang berfikir, saban saat, saban waktu, dalam tidur dalam jaga. Kenapa tidak? Pemikir suka melayan pemikiran sendiri. Kenapa amatur? Kerana bukanlah diri ini cendekiawan, ilmuwan atau pun sasterawan. Namun begitu, ada sesetengah perkara, janganlah difikirkan sangat...

Tuesday, April 10, 2012

Hampir 4 bulan di 2012... ALASAN...

Rupanya sudah hampir 5 bulan sejak entri terakhir pemikir ni... alasan klise lagi.."Sibuk, banyak kerja"... Pemikir boleh tersenyum sendiri kalau mendengar atau membaca perkataan 'alasan'...
Teringat satu lagu yang pemikir cipta untuk menjawab orang yang suka memberi alasan.. (kita selalu tahu kan sama ada orang yang menjawab tu memang jujur atau sekadar memberi alasan dengan kata lain 'malas'). Nak tau macammana lagunya? Liriknya sebegini...

Alasan... oh alasan...
Alasan... oh alasan...
Alasan... oh alasan... oh alasan...

(Lirik sahaja, melodi cari sendiri... hehe...)

Satu perangai pemikir ni, memang tak suka dengar orang memberi alasan. Bukanlah maksudnya, tau mahu mendengar langsung... tapi, kalau pemikir bertanya, pastikan jawapan yang diberi itu padat dan tepat... ketepikan elemen emosi membodek ala-ala cuma dia sahaja yang ada urusan dan masalah... Percayalah, pemikir ini penuh dengan toleransi dan budi bicara yang tinggi serta mudah memahami.

Apa konsep memberi alasan yang pemikir maksudkan?

Pemikir ingin menyatakan bahawa konteks memberi alasan yang pemikir maksudkan ialah menjawab pertanyaan seseorang dengan berjela-jela, penuh emosi, ditambah dengan masalah persekitaran dan yang paling penting bukan sekali dua tetapi setiap kali. Memang ada manusia yang suka menjawab pertanyaan mudah dengan jawapan yang susah. Dengan kata lain kita tanya soalan objektif, tapi dijawabnya dengan esei 350 patah perkataan. Relevankah?

Contoh;

Tanya : Kenapa dah nak tengah hari tapi baru nak sarapan?
Jawab : Tu, la Cik Yah, kita ni jadi mak, isteri, bukannya senang. Suami balik kerja terus minta kita sediakan air, nak makan, nak itu, nak ini... kalau tak layan nanti kita ni berdosa kan? Dah tu sambil minum, lepak depan tv, baca suratkhabarlah, majalahlah... anak berak pun, panggil kita jugak uruskan... apalah salahnya kalau dia bangun tolong kan?... anak dia jugak!.. Kita duk kat rumah ni pun bukannya tidur aje. Bila malam, siapkan baju suami untuk keje esok, anak2 nak sekolah lagi... kain baju nak lipat... last2, kita tengok suami kita dah tidur dah... kita tanya, dia jawab, penatlah kerja siang tadi, klien ramai. Bila baby kecik ni bangun malam pun dia buat pekak aje... hai, ni yang macam tak cukup tidur nih...
(Setakat ni belum ada jawapan...)
Sambung lagi...
Jawab: Pagi tadi lepas dah siap masak sarapan, ingat nak makan sama-sama dengan suami... tup-tup, yang kecik tu pulak nangis nak susu, pastu tak nak diletak, asyik nak dukung ajer... suami pegi keje pun kita tak sempat nak bersalam... terus buat kerja-kerja rumah lain, sampai lupa nak sarapan... ni yang baru makan ni... heheh... Cik Yah bagusnya Cik Yah ni, baru pukul 11.30 pg dah siap makanan tengah hari... terima kasihlah bagi semangkuk ikan patin masak gulai lemak tempoyak ni... nanti saya tinggal masak sayur jelah kan...

Penanya mesti tersenyum sumbing sebab dah tak ada perkataan nak dicakapkan lagi kan?
Kalau boleh pemikir beri cadangan jawapan kepada penjawab tu, jawab sahaja "Tak sempat Cik Yah, banyak kerja sampai terlupa"... boleh gitu kan??? Pemikir fikir dengan cara begitu orang lain lebih simpati... betul tak?

Kenapa suka memberi alasan? Dan yang menyukarkannya lagi adalah, orang yang suka memberi alasan ini tidak menyedarinya.
Ada beberapa kemungkinan manusia ni suka memberi alasan dan yang selalunya...

a) kerana tidak mengakui kelemahan sendiri, jadi mereka cuba menudingkan kelemahan pada persekitarannya dan orang-orang disekelilingnya.

Contoh: Saya rasa saya tak bolehlah pergi kursus ni Tuan. Saya cadangkan Si Munah tulah
tuan. Lagipun dia belum kawin, kurang tanggung jawab. Tak ada suami, anak dan
macam-macam urusan rumah tangga. Dia pun muda lagi tuan, elok pergi kursus
banyak-banyak nak tambahkan pengetahuan. Saya ni bukan apa tuan, suami saya
tu sekarang selalu outstation, kalau dia tak ada di rumah, nanti anak-anak saya
macam mana? Pembantu rumah saya tu bukannya boleh dipercaya sangat. Saya
takut tuan dengan kes2 amah dera anak majikan, culiklah... anak saya kecik lagi.
kalau dah besar sikit mungkin boleh tuan.... bla..bla..bla...

Agak-agaknya meluat tak bos kita kalau dengar alasan begini. Sekalipun benar, tapi caranya agak kurang benar. Cuba jawab "Maaf tuan, bulan ini memang suami saya tak mengizinkan saya keluar berkursus, kerana dia sendiri banyak tugasan di luar". Seandainya majikan anda seorang yang mulia, pasti dia memikirkan bahawa, sungguh taat isteri ini pada suaminya. Jika kita memberi alasan seperti cerita berjela di atas... tuan kita mungkin terfikir... kau sorang ke yang ada laki kat sini???

b) kerana kononnya mereka akan dapat mengurangkan beban kesalahan atas dirinya dengan perkataan lain tidak mengakui kesalahan secara total terhadapnya. Mesti ada perkara lain yang turut bersalah bersama-sama dengannya.

Contoh : Saya lambat ni sebab tulah... dah tau kan kalau pagi semua orang sibuk nak pegi
keje, hantar anak sekolah dan macam-macam lagi... polis trafik patutnya, jagalah
lalulintas... biar cepat sikit kenderaan bergerak... bayangkan pagi tadi nak isi
minyak je, kena tunggu 3/4 bijik kereta, susahlah macam ni kan... projek buat jalan
taman sebelah tu pun satu hal... satu jalan tutup, semua kenderaan ikut laluan di
taman saya tu... Tulah, saya bukannya sengaja sebenarnya...

Sebenarnya, kalau dah tahu jalan sibuk, kenalah kita keluar awal. Kalau tak, kita boleh jawab dengan mudah "Maaf, saya lewat keluar dari rumah tadi dan terperangkap dalam kesesakan lalulintas". Biasanya, penanya akan mula menyoal semula untuk mengetahui kes lebih lanjut. Itupun kalau penanya tu nak tahu, kalau dia tak mahu tahu, cukuplah sekadar itu. Dan pastikan kesilapan itu tidak berlaku berulang kali dalam seminggu...Rumah orang lain pun bukannya ada di sebelah tempat kerja... nampak sangat kan!


c) mereka ingin dikasihani, dan mengharapkan orang lain akan empati terhadap dirinya... (ini permainan psikologi..)... ataukah mereka ini kurang kasih sayang???... seperti kes di atas, isteri kurang kasih sayang suami...

Yang ni contohnya sama seperti cerita pertama pemikir tadi, tentang akak yang menjawab soalan Cik Yah.

d) kerana mereka terlalu ingin orang lain memahami mereka. Orang sebegini biasanya inginkan orang lain memahami dirinya, tetapi kurang inisiatif untuk memahami orang lain...Hello! everything is not about you okay!!

Contoh : Ayang fikirlah, abang ni dah penat keluar cari rezeki untuk keluarga kita. Untuk
mak, abah, atuk, nenek, bonda, ayahanda. Abang keluar rumah selalu bukannya
pergi berpoya-poya. Ayang pun kenal dengan kawan-kawan abang kan. Ayang
boleh tanya dengan Ahmad, Ali, Ah Meng dan Raju... Ayang janganlah nak
merajuk-rajuk sangat kalau abang lupa nak call ayang. Lepas tu bila abang balik
nak marah pulak. Abang dan suruh ayang berenti keje je, duduk rumah, ayang tak
nak!. Cubalah faham keadaan abang!

Aduhai... orang lain pun ada kesibukan juga. Kalau tak mahu memanjangkan cerita, jawablah dengan rendah hati.. "Maaflah ayang, abang sibuk tadi, lain kali kalau dah free abang bawa ayang jalan2 yer..., jangan marah yer..." Sambil tu, senyum2 dan kenyit2 la isteri sikit. Tips: Kalau orang tengah marah dengan kita, jangan ungkit kesalahan orang tu, nanti bertambah parah jadinya.


e) kerana mereka tidak ada jawapan yang munasabah, sebab itulah jawapannya berjela-jela. Kalau buat karangan, isi pentingnya tak ada, huraian pula dah tiga perenggan.

Contohnya adalah semua di atas... hehe (macam malas nak fikir jer nih... alasan...!!)


"Kita lahir dengan DUA mata dan DUA telinga, tapi kita hanya diberi SATU mulut. Kerana mulut boleh menjada senjata yang sangat tajam, mulut bisa menyakiti, bisa membunuh, bisa menggoda. Sehingga ingatlah, bicara sesedikit mungkin tapi lihat dan dengarlah sebanyak-banyaknya."

Thursday, May 19, 2011

Apa nak jadi dengan generasi remaja hari ini?

Sudah lama pemikir tidak berkesempatan mengemaskini blog pemikir ni. Sebenarnya pemikir sangat sukar mencari masa senggang beberapa bulan kebelakangan ini. Pemikir banyak memerhatikan gelagat generasi remaja hari mutakhir ini yang telah dicabar dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi.
Pemikir sangat sedih, runsing, bimbang dan gundah gulana memikirkan al kisah tingkahlaku budak-budak remaja seawal 13 hingga 17 tahun ini. Susah benar gamaknya ibu bapa untuk memahami mereka, apatah lagi guru-guru di sekolah yang hanya bertemu mereka lebih kurang hanya 40 jam seminggu. Apa yang pemikir tahun zaman atuk nenek dan emak bapak pemikir sendiri pun rata-rata menjalani hidup remaja dalam kesukaran dan kemiskinan. Hatta, mereka tidak berpelajaran tinggi kerana tidak cukup kewangan untuk belajar walaupun hanya untuk ke sekolah rendah. Paling hebat mungkin sampai darjah enam sahaja. Masalahnya tidak lain memang hanya duit... duit... duit. Justeru, untuk mengurangkan beban ibu bapa mereka, mereka telah dikahwinkan dalam usia muda, atau dengan perkataan lain, dikahwinkan dalam usia belasan tahun. Selepas berkahwin, maka hilanglah tanggungjawab ibu bapa keatas mereka. Namun, dewawa ini pendidikan di negara kita bukanlah perkara yang sukar untuk dimiliki. Kerajaan dengan murah hati telah mensubsidikan buku teks dan yuran malah tidak perlu lulus pun untuk menyambung pelajaran ke sekolah menengah (dari sekolah rendah). Ditambah lagi, pelajar yang kurang berkemampuan telah disedikan dengan pelbagai jenis biasiswa kerajaan, persekutuan, syarikat-syarikat besar dan baitulmal. Apa lagi yang tidak disediakan? Ibu bapa generasi remaja ini juga bukan generasi yang kolot yang tidak pernah melihat KLCC?... Apa yang pemikir pelik, mereka bukan lebih bersemangat untuk belajar... malah sibuk pula hendak minta dikahwinkan....! Pemikir ada beberapa soalan hendak ditanya;
Adakah mereka ini generasi pembangkang?
Adakah mereka ini generasi yang tidak tahu berterima kasih?
Adakah mereka ini generasi hasil kepincangan keluarga?
Adakah mereka ini generasi hasil daripada kegagalan sistem pendidikan?
Adakah mereka ini generasi subsidi yang menganggap subsidi itu wajib?
Adakah mereka ini generasi yang tidak tahu bersyukur?
Adakah mereka ini generasi yang tidak bodoh tetapi jahil?
Adakah mereka ini generasi hasil kemewahan dunia?
Siapa yang hendak jawab soalan pemikir ini? Pemikir kasihan dengan ibu bapa yang rata-rata dengan ayat yang klise menyatakan "Saya pun dah tak tahu nak buat apa dengan anak saya". Kalau ibu bapa sendiri tidak tahu, siapa yang tahu? Bila kerajaan atau orang luar bertindak, ibu bapa juga orang pertama yang membangkang tindakan itu... mereka juga jadi golongan yang menyokong tindakan mereka....
Pemikir juga ada anak-anak, dan ini menyebabkan pemikir lebih takut. Kita tidak boleh membanding bezakan cara dan gaya hidup zaman dahulu dengan zaman kini. Mereka telah hidup pada zaman mereka yang jauh lebih hebat dari zaman kita seusia mereka. Tetapi.... adakah zaman mereka hari ini jauh lebih baik dari zaman kita? Sedangkan beza zaman itu hanyalah dalam lingkungan 10 hingga 30 tahun. Malah, ia tidak membentuk satu peradaban pun.
Sebagai ibu bapa, dekatilah anak-anak anda. Rotanlah ketika mereka masih kecil untuk tujuan pengajaran bukan penderaan. Cubitlah selagi mereka masih boleh dicubit. Pukullah selagi mereka boleh menganggap kita ibu dan bapa mereka. Jangan sampai apabila mereka akil baligh, mereka hanya menganggap ibu bapa sebagai masalah, halangan dan bebanan atau hanya sebagai sumber kewangan sahaja. Apabila mereka sudah akil baligh, jadilah rakan kepada mereka ini. Dekatilah mereka sebagai kawan yang boleh bersuka, berduka dan bergurau senda bersama. Pemikir percaya, sekiranya anak kita boleh menjadi sahabat kita, perkara-perkara keduniaan yang lain akan dikecapi oleh anak-anak kita. Wallahua'lam bissawab....








Monday, January 3, 2011

Kadang-kadang aku marah, tapi selalunya aku mengamuk!

Mat Poyo terpisat-pisat sambil menggosok-gosok matanya yang masih kelat. Langkahnya dilajukan, kakinya deras menuju kediaman ‘jiran’ sebelah rumahnya. Jiwanya amat bergelora dengan ombak amarah yang rakus menghempas pantai. “Hei…. Kau dengar ni… kadang-kadang aku marah, tapi selalunya aku mengamuk! Kau cuba tanya kenapa aku selalu mengamuk? Sebab kaulah! Pagi-pagi buta lagi kau dah kejutkan aku bangun. Engkau ni memang satu hal, kalau kau nak bangun awal, kau bangunlah sorang-sorang, kenapa kau ajak aku sekali. Masa kau bangun lewat, tak adapun aku kacau kau! Azab betullah berjiran dengan kau! Cubalah tanamkan sifat kejiranan yang baik. Hish! Ni..ni… kau tengok ni, kelopak mata aku ni masih melekat tau tak? Aku mengantuk, semalam aku tidur lewat sebab nak siapkan assignment. Engkau memanglah tak ada assignment nak kena buat, engkau tak sekolah! Kalau aku kata kau bodoh, nanti kau marah! Mak bapak kau memang sengaja tak nak hantar kau pegi sekolah, mengabihkan boreh yo! Aku dah cuba dah nak faham kau, tapi kau langsung tak kisah nak faham aku. Macam nilah, esok, kalau kau kacau aku lagi pagi-pagi buta macam ni, memang dalam kualilah kau jawabnya! Faham!!” Puas hati Mat Poyo sekarang.

Kokkokkokkokkk… kokkokkokkkokkk…! (Mamat ni cakap dengan aku ke?) Beberapa helai bulu pelepahnya jatuh bertebaran di dalam reban.

Tuesday, December 14, 2010

Adakah kita cukup patriotik?

Kenapa soalan ni timbul tiba-tiba di waktu kelapangan berada di rumah bersama keluarga? Tambahan, sedang bersenang-senang selepas sarapan pagi nasi goreng kampung dan bijirin (coco crunch); 'fusion breakfast'. Makanya, pemikir pun terfikir betapa pemikir sudahpun menyediakan sarapan pagi gabungan melayu dan inggeris. Nak ditambah lagi, anak perempuan pemikir ni suka sangatlah makan 'scrambled egg'. Pagi, petang, siang, malam boleh makan makanan kegemarannya tu. Maknanya, transformasi budaya telahpun berlaku. Budaya adalah kelaziman yang dipraktikkan seharian. Dalam Islam pun kita ada istiqamah. Perbuatan yang diulang berkali-kali akan menjadi kebiasaan dan akhirnya membentuk budaya.
Berbalik kepada soalan pemikir tadi. Cukup patriotikkah kita ni? Pemikir terfikir tentang kenapa ada manusia yang sanggup 'menggadaikan' bangsa dan negara kepada orang lain untuk kepentingan dirinya. Pemikir tak mahulah memberi komen lanjut tentang alkisah mereka ni. Paling bangsat, dapat dosa kering saja la kan. Pemikir cuba nak melontarkan beberapa soalan sahaja. Pemikir sendiri tidak tahu bagaimana untuk menjawab soalan-soalan ini. Cuma, fikir-fikirkanlah...

Cukup patriotikkah kita sekiranya...
  1. kita hanya menggunakan kereta tempatan (walaupun bukan 100% teknologi tempatan)?
  2. kita hanya membeli barangan buatan Malaysia?
  3. bercakap Bahasa Malaysia sahaja setiap kali bertutur semasa berada di dalam negara?
  4. mendengar lagu-lagu/radio tempatan sahaja?
  5. menonton wayang cerita tempatan?
  6. menyanyikan lagu Negaraku setiap pagi selepas bangun dari tidur?
  7. kita hanya menjelajah tempat-tempat menarik di negara kita sahaja?
  8. kita hanya membeli bahan bacaan bertulisan Melayu sahaja?
  9. mempunyai idola dalam kalangan rakyat tempatan?
  10. makan makanan tradisi sahaja?
  11. tidak memburuk-burukkan negara sendiri?
  12. tidak bersekongkol menjatuhkan pemimpin negara?
Banyak lagi soalan yang boleh diutarakan. Namun, jawapan bagi setiap soalan di atas bukanlah berbentuk ya atau tidak. Jawapan-jawapan bagi setiap persoalan itu lebih subjektif dan kritis. Pada pendapat pemikir, menjadi patriotik adalah sikap manusia. Sedikit sebanyak sikap ini disemai, ditanam, dibaja dan dijaga oleh ibu bapa sejak kita lahir. Pokoknya adalah kita sekarang. Patriotisme ada kaitan dengan jati diri yang kuat. Jati diri inilah yang menjadi iman dalam patriotisme. Sebagai manusia yang hidup berlandaskan hukum dan peraturan agama, jati diri perlu seiring dengan akidah Islam. Nescaya, campaklah ke laut manapun, humbanlah ke gaung manapun, terbanglah di langit manapun, kita pasti selamat di dunia dan yang penting di akhirat. Sikap manusia senantiasa berubah mengikut perubahan persekitaran seperti aktiviti harian, teknologi, keadaan ekonomi dan taraf pendidikan. Lihat sekeliling kita, dan nilaikan sebanyak mana semangat patriotsme kita sendiri.
Kita sedang melalui era globalisasi yang memperlihatkan kita dengan ledakan perkembangan teknologi maklumat. Manusia yang mempunyai ilmu teknologi maklumat yang tercanggih akan menguasai dunia. Milenium ini kita melihat Bill Gates dan Mark Zuckerberg menguasai dunia. Percayalah 1000 tahun lagi, kita tidak akan tahu kuasa apa yang akan menakhluki dunia.

Monday, December 6, 2010

Doa Awal Tahun dan Akhir Tahun

Doa Akhir Tahun dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah.
Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata
“Kesusahan bagiku dan sia-sia lah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan
aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa ini, Allah ampunkan dosanya setahun”

Berikut adalah Doa Akhir Tahun

doa-akhir-thn0.jpg

Maksudnya:

Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu.

Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah! Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.
Barangsiapa yang membaca doa akhir tahun ini, maka syaitan akan berkata:
“Hampalah kami di sepanjang tahun ini”.

-
Doa Awal Tahun dibaca 3 kali selepas maghrib pada malam satu Muharram. Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata
“Telah amanlah anak Adam ini daripada godaan pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan
dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah Syaitan”.

Berikut adalah Doa Awal Tahun

doa-awal-thn0.jpg

Maksudnya:

Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.

Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.

Saturday, December 4, 2010

Amalan Solehan

Betulkan Persepsi “Amalan Solehan”
Apabila mengkaji tentang "otak", Al-Quran memberi penjelasan yang amat menyeluruh dan lengkap. Al-Quran menjelaskan bahawa persepsi adalah penting untuk merubah sesuatu kaum. Maka kita akan mengambil sedikit masa untuk menerangkan serba sedikit tentang pentingnya membetulkan "persepsi" untuk memperkasakan ummah. Al-Quran menjelaskan betapa pentingnya umat Islam berpegang kepada konsep "amalan solehan" yang betul.

Tema musabaqah tilawah Quran 2010 “Mengukuhkan Ukhwah, Perkasakan Ummah” adalah satu tema yang amat baik dan relevan untuk membetulkan kembali keadaan umat Islam. Al-Quran menjelaskan untuk memperkasakan ummah, maka umat Islam mestilah membetulkan persepsi dalam minda mereka, sebab Al-Quran menegaskan “Allah tidak akan merubah sesuatu kaum sehingga kaum itu merubah apa yang ada dalam diri mereka". Yang perlu diubah ialah persepsi umat Islam terhadap konsep amalan solehan.

Konsep Amalan Solehan
Konsep amalan solehan ialah konsep penambah-baikkan atau continuous improvement atau di Jepun dikenali dengan Kaizen. Ianya bukan konsep "amal kebajikan" atau konsep "kuat beribadat" seperti yang difahami oleh ramai umat Islam. Orang yang kuat beribadat ialah "orang bertaqwa". Makna perkataan "soleh" adalah asal dari "solaha atau aslaha" yang bermakna "memperbaikki" atau "memperelokkan", dan bukannya membuat kebajikan (charity work) atau kuat ibadat.

Semua nabi-nabi yang diturunkan kepada setiap umat manusia adalah untuk melakukan amal soleh, untuk melakukan penambah-baikkan dan bukannya untuk melakukan amal kebajikan. Nabi-nabi datang untuk memperbetulkan (memperbaiki) sesuatu kaum yang sudah rosak seperti menyembah berhala, membunuh anak, memakan riba, menipu timbangan dan sebagainya. Nabi-nabi tidak diturunkan untuk membuat amal kebajikan seperti membuat jamuan hari raya secara besar-besaran, menganjurkan gotong-royong perdana, memberi subsidi, memberi mega projek, dan sebagainya.


Di dalam Al-Quran, Allah SWT telah menetapkan syarat bahawa hanya orang-orang yang melakukan amalan soleh (melakukan penambah-baikkan) sahaja yang dapat “Memperkasakan Ummah”, yang dapat menjadi khalifah, dan mempertahankan agama Islam.


Memperkasakan Ummah
Dalam surah An-Nur 24:55, Allah telah menjelaskan bagaimana untuk memperkasakan ummah, Allah SWT berjanji bahawa hanya orang-orang beriman (berfikir secara deduktif) dan beramal soleh (yang melakukan penambah-baikkan) sahaja yang dapat memerintah dunia, yang dapat mempertahankan agama Islam, dan yang dapat mengeluarkan ketakutan kepada keamanan. Kenapa orang Yahudi yang hanya berjumlah kira-kira 15 juta orang dapat memerintah dan mengawal dunia sedangkan umat Islam yang banyak seperti buih (kira-kira 1.6 bilion orang) tidak mampu berbuat apa-apa sehinggakan untuk menghantar barang bantuan makanan ke Gaza pun kena halau askar Israel?

Cuba lihat dan kaji siapa yang mereka-cipta komputer, telefon, kapal perang, bom nukluer dan sebagainya? Kenapa umat Islam tidak mampu mempertahankan diri? Kenapa Allah tidak makbul doa umat Islam sekarang? Adakah Allah telah memungkiri janji atau umat Islam tidak lagi mengerjakan amal soleh? Atau adakah umat Islam silap faham terhadap konsep dan kahendak “amal soleh”?

Tukar Persepsi Umat Islam
Kalau umat Islam bersungguh-sungguh mahu memperkasakan ummah, maka pertama sekali kita mestilah menukar persepsi kita terhadap konsep dan kahendak “Amalan Solehan”. Misalnya, setiap kali bangun pagi kita mesti berfikir tentang penambah-baikkan yang hendak dilakukan. Misalnya bagaimana untuk menambah-baik penggunaan masa, menambah-baik hubungan keluarga/persahabatan, menambah-baik proses kerja, menambah ilmu di dada, dan sebagainya. Amal soleh (kerja penambah-baikkan) mestilah dijadikan sebagai KPI bukannya visi (cita-cita), sebagai garis-panduan melakukan aktiviti harian, dan sebagai penanda aras setiap usaha.


Al-Quran amat memberi penekanan yang tinggi tehadap konsep amalan solehan sehinggakan Al-Quran mengajar apakah lawan kepada konsep amalan solehan agar umat Islam betul-betul faham dan tidak keliru dengan konsep yang penting dan hebat ini.


Al-Quran menjelaskan pada ayat 2:11 Surah Al-Baqarah lawan (antonim) kepada amalan solehan ialah “amalan fasadan”, iaitu amalan perosakkan atau pemusnahan, amalan buruk dan keji yang dibenci dan dikutuk oleh manusia dan seluruh alam, seperti amalan rasuah, membuang masa, mengumpat, mencela, bersekedudukkan, membuang (membunuh) anak, hisap dadah, menderhaka ibu-bapa, ponteng sekolah, dan sebagainya.


Ayat ini juga menjelaskan tentang orang-orang munafik yang dinasihatkan supaya jangan melakukan bencana dan kerosakkan, namun mereka menjawab mereka melakukan penambah-baikkan. Cuba perhatikan, perkataan "fasad" (tufsidu) dan "soleh" (muslihun) adalah dua perkataan utama (yang membawa maksud berlawanan) dalam ayat ini. Inilah kehebatan kaedah Al-Quran, selain dari memberi nasihat dan tunjuk-ajar, ianya juga memberi definasi dan penjelasan kepada sesuatu perkataan, terma, atau konsep. Maka dengan ini kita faham bahawa konsep orang-orang soleh ialah orang-orang yang tidak melakukan kerosakkan dan kemusnahan, dan merupakan orang-orang yang sentiasa melakukan penambah-baikkan.

Kekuatan Islam pada konsep Amalan Solehan
Allah SWT menjadikan kekuatan manusia terletak pada minda dan persepsi, pada kepercayaan dan keyakinan diri terhadap konsep “amalan solehan”. Lihatlah kepada kekuatan orang-orang yahudi; mereka mengamalkan konsep amalan solehan (continuous improvement). Mereka adalah bangsa hebat dan digeruni. Mereka menambah-baik peralatan senjata, menambah-baik alat-alat perhubungan, dan sebagainya. Begitu juga bangsa Jepun yang menggunakan konsep Kaizen menjadikan mereka ummah ke-dua terbaik di dunia.


Orang-orang Jepun menambah-baik kereta supaya menjadi lebih murah, lebih jimat minyak, lebih tahan lama, lebih mudah dibaiki, dan sebagainya. Tetapi kebanyakkan umat Islam membelanjakan beribu-ribu ringgit untuk memasang sport-rim, side-skirt, spoiler, dan TV/stereo sistem pada kononnya "penambah-baikkan". Perbuatan seperti ini tidak dikira penambah-baikkan sebab ianya membuatkan kereta itu kurang stabil, kurang selamat, malah merupakan satu pembaziran.

Samalah juga dengan menukar ekzos besar atau yang berbunyi nyaring bukanlah amalan solehan tetapi amalan fasadan, amalan perosakkan sebab ianya mencemar alam sekitar dengan mengeluarkan bunyi yang bising. Begitu juga dengan duduk di dapur dari pagi sampai ke malam memasak berpuluh jenis lauk-pauk (untuk dimakan keluarga sendiri) bukanlah kerja solehah malah satu pembaziran; pembaziran wang, masa, tenaga, kesihatan, dan sebagainya.


Sekiranya umat Islam mahu diperkasakan, mahu kembali memerintah dunia maka mereka mesti kembali kepada Al-Quran, mesti merubah pandangan dan persepsi “amalan solehan”: Amalan solehan adalah kerja penambah-baikkan (continuous improvement) dan bukannya kerja kebajikan (charity work).

Peminat Maher Zain...


Saya memang meminati bidang muzik. Muzik menjadi sebahagian daripada hidup sehari-hari saya. Mungkin itu sahajalah hiburan saya yang paling 'liar'. Mungkin pada insan lain, mereka berhibur dengan menonton wayang, bermain bowling atau pergi ke kelab-kelab dengan tujuan bersuka-ria, namun untuk insan seperti saya, semua itu adalah sangat jauh... Hmm.. mungkin saya seorang yang membosankan...
Kali ini saya ingin berkenalan dengan penyanyi kelahiran Tripoli, Lebanon ini. Maher Zain yang dilahirkan pada tahun 1981 ini menjadi sangat terkenal walaupun membawakan lagu-lahu berbentuk kerohanian dan nasyid. Baru sahaja melahirkan album pertama berjudul 'Thank You Allah' dan dilancarkan pada 1 November 2009. Percaya atau tidak Maher Zain mempunyai ijazah dalam bidang Aeronautical Engineering. Maher Zain boleh dikatakan sangat berjaya kerana dalam tempoh tidak sampai setahun dalam industri nyanyian, lagunya telah berkumandang di seluruh dunia. Agaknya mengapa ya? Mengapa lagunya boleh diterima masyarakat dunia? Kenapa saya menerima lagunya? Pada saya melodi lagunya sungguh indah dan menyentuh jiwa, malahan sangat relevan dengan aliran muzik masa kini. Lirik lagunya sangat bermotivasi dan mudah untuk dikaitkan dengan setiap manusia. Boleh dikatakan terasa seperti sangat rapat dengannya dan mendekatkan kita dengan Allah. Saya sukakan suaranya, 'projection'nya jelas dan merdu (tidak menyakitkan telinga). Anda mungkin meminatinya kerana wajah kacaknya... tak mustahil kan?
Antara lagu kegemaran saya pastinya Always Be There, Insya Allah dan Barakallah.