Pemikir Amatur?

Semua orang berfikir, saban saat, saban waktu, dalam tidur dalam jaga. Kenapa tidak? Pemikir suka melayan pemikiran sendiri. Kenapa amatur? Kerana bukanlah diri ini cendekiawan, ilmuwan atau pun sasterawan. Namun begitu, ada sesetengah perkara, janganlah difikirkan sangat...

Saturday, December 4, 2010

Amalan Solehan

Betulkan Persepsi “Amalan Solehan”
Apabila mengkaji tentang "otak", Al-Quran memberi penjelasan yang amat menyeluruh dan lengkap. Al-Quran menjelaskan bahawa persepsi adalah penting untuk merubah sesuatu kaum. Maka kita akan mengambil sedikit masa untuk menerangkan serba sedikit tentang pentingnya membetulkan "persepsi" untuk memperkasakan ummah. Al-Quran menjelaskan betapa pentingnya umat Islam berpegang kepada konsep "amalan solehan" yang betul.

Tema musabaqah tilawah Quran 2010 “Mengukuhkan Ukhwah, Perkasakan Ummah” adalah satu tema yang amat baik dan relevan untuk membetulkan kembali keadaan umat Islam. Al-Quran menjelaskan untuk memperkasakan ummah, maka umat Islam mestilah membetulkan persepsi dalam minda mereka, sebab Al-Quran menegaskan “Allah tidak akan merubah sesuatu kaum sehingga kaum itu merubah apa yang ada dalam diri mereka". Yang perlu diubah ialah persepsi umat Islam terhadap konsep amalan solehan.

Konsep Amalan Solehan
Konsep amalan solehan ialah konsep penambah-baikkan atau continuous improvement atau di Jepun dikenali dengan Kaizen. Ianya bukan konsep "amal kebajikan" atau konsep "kuat beribadat" seperti yang difahami oleh ramai umat Islam. Orang yang kuat beribadat ialah "orang bertaqwa". Makna perkataan "soleh" adalah asal dari "solaha atau aslaha" yang bermakna "memperbaikki" atau "memperelokkan", dan bukannya membuat kebajikan (charity work) atau kuat ibadat.

Semua nabi-nabi yang diturunkan kepada setiap umat manusia adalah untuk melakukan amal soleh, untuk melakukan penambah-baikkan dan bukannya untuk melakukan amal kebajikan. Nabi-nabi datang untuk memperbetulkan (memperbaiki) sesuatu kaum yang sudah rosak seperti menyembah berhala, membunuh anak, memakan riba, menipu timbangan dan sebagainya. Nabi-nabi tidak diturunkan untuk membuat amal kebajikan seperti membuat jamuan hari raya secara besar-besaran, menganjurkan gotong-royong perdana, memberi subsidi, memberi mega projek, dan sebagainya.


Di dalam Al-Quran, Allah SWT telah menetapkan syarat bahawa hanya orang-orang yang melakukan amalan soleh (melakukan penambah-baikkan) sahaja yang dapat “Memperkasakan Ummah”, yang dapat menjadi khalifah, dan mempertahankan agama Islam.


Memperkasakan Ummah
Dalam surah An-Nur 24:55, Allah telah menjelaskan bagaimana untuk memperkasakan ummah, Allah SWT berjanji bahawa hanya orang-orang beriman (berfikir secara deduktif) dan beramal soleh (yang melakukan penambah-baikkan) sahaja yang dapat memerintah dunia, yang dapat mempertahankan agama Islam, dan yang dapat mengeluarkan ketakutan kepada keamanan. Kenapa orang Yahudi yang hanya berjumlah kira-kira 15 juta orang dapat memerintah dan mengawal dunia sedangkan umat Islam yang banyak seperti buih (kira-kira 1.6 bilion orang) tidak mampu berbuat apa-apa sehinggakan untuk menghantar barang bantuan makanan ke Gaza pun kena halau askar Israel?

Cuba lihat dan kaji siapa yang mereka-cipta komputer, telefon, kapal perang, bom nukluer dan sebagainya? Kenapa umat Islam tidak mampu mempertahankan diri? Kenapa Allah tidak makbul doa umat Islam sekarang? Adakah Allah telah memungkiri janji atau umat Islam tidak lagi mengerjakan amal soleh? Atau adakah umat Islam silap faham terhadap konsep dan kahendak “amal soleh”?

Tukar Persepsi Umat Islam
Kalau umat Islam bersungguh-sungguh mahu memperkasakan ummah, maka pertama sekali kita mestilah menukar persepsi kita terhadap konsep dan kahendak “Amalan Solehan”. Misalnya, setiap kali bangun pagi kita mesti berfikir tentang penambah-baikkan yang hendak dilakukan. Misalnya bagaimana untuk menambah-baik penggunaan masa, menambah-baik hubungan keluarga/persahabatan, menambah-baik proses kerja, menambah ilmu di dada, dan sebagainya. Amal soleh (kerja penambah-baikkan) mestilah dijadikan sebagai KPI bukannya visi (cita-cita), sebagai garis-panduan melakukan aktiviti harian, dan sebagai penanda aras setiap usaha.


Al-Quran amat memberi penekanan yang tinggi tehadap konsep amalan solehan sehinggakan Al-Quran mengajar apakah lawan kepada konsep amalan solehan agar umat Islam betul-betul faham dan tidak keliru dengan konsep yang penting dan hebat ini.


Al-Quran menjelaskan pada ayat 2:11 Surah Al-Baqarah lawan (antonim) kepada amalan solehan ialah “amalan fasadan”, iaitu amalan perosakkan atau pemusnahan, amalan buruk dan keji yang dibenci dan dikutuk oleh manusia dan seluruh alam, seperti amalan rasuah, membuang masa, mengumpat, mencela, bersekedudukkan, membuang (membunuh) anak, hisap dadah, menderhaka ibu-bapa, ponteng sekolah, dan sebagainya.


Ayat ini juga menjelaskan tentang orang-orang munafik yang dinasihatkan supaya jangan melakukan bencana dan kerosakkan, namun mereka menjawab mereka melakukan penambah-baikkan. Cuba perhatikan, perkataan "fasad" (tufsidu) dan "soleh" (muslihun) adalah dua perkataan utama (yang membawa maksud berlawanan) dalam ayat ini. Inilah kehebatan kaedah Al-Quran, selain dari memberi nasihat dan tunjuk-ajar, ianya juga memberi definasi dan penjelasan kepada sesuatu perkataan, terma, atau konsep. Maka dengan ini kita faham bahawa konsep orang-orang soleh ialah orang-orang yang tidak melakukan kerosakkan dan kemusnahan, dan merupakan orang-orang yang sentiasa melakukan penambah-baikkan.

Kekuatan Islam pada konsep Amalan Solehan
Allah SWT menjadikan kekuatan manusia terletak pada minda dan persepsi, pada kepercayaan dan keyakinan diri terhadap konsep “amalan solehan”. Lihatlah kepada kekuatan orang-orang yahudi; mereka mengamalkan konsep amalan solehan (continuous improvement). Mereka adalah bangsa hebat dan digeruni. Mereka menambah-baik peralatan senjata, menambah-baik alat-alat perhubungan, dan sebagainya. Begitu juga bangsa Jepun yang menggunakan konsep Kaizen menjadikan mereka ummah ke-dua terbaik di dunia.


Orang-orang Jepun menambah-baik kereta supaya menjadi lebih murah, lebih jimat minyak, lebih tahan lama, lebih mudah dibaiki, dan sebagainya. Tetapi kebanyakkan umat Islam membelanjakan beribu-ribu ringgit untuk memasang sport-rim, side-skirt, spoiler, dan TV/stereo sistem pada kononnya "penambah-baikkan". Perbuatan seperti ini tidak dikira penambah-baikkan sebab ianya membuatkan kereta itu kurang stabil, kurang selamat, malah merupakan satu pembaziran.

Samalah juga dengan menukar ekzos besar atau yang berbunyi nyaring bukanlah amalan solehan tetapi amalan fasadan, amalan perosakkan sebab ianya mencemar alam sekitar dengan mengeluarkan bunyi yang bising. Begitu juga dengan duduk di dapur dari pagi sampai ke malam memasak berpuluh jenis lauk-pauk (untuk dimakan keluarga sendiri) bukanlah kerja solehah malah satu pembaziran; pembaziran wang, masa, tenaga, kesihatan, dan sebagainya.


Sekiranya umat Islam mahu diperkasakan, mahu kembali memerintah dunia maka mereka mesti kembali kepada Al-Quran, mesti merubah pandangan dan persepsi “amalan solehan”: Amalan solehan adalah kerja penambah-baikkan (continuous improvement) dan bukannya kerja kebajikan (charity work).

No comments:

Post a Comment