Pemikir Amatur?

Semua orang berfikir, saban saat, saban waktu, dalam tidur dalam jaga. Kenapa tidak? Pemikir suka melayan pemikiran sendiri. Kenapa amatur? Kerana bukanlah diri ini cendekiawan, ilmuwan atau pun sasterawan. Namun begitu, ada sesetengah perkara, janganlah difikirkan sangat...

Tuesday, December 14, 2010

Adakah kita cukup patriotik?

Kenapa soalan ni timbul tiba-tiba di waktu kelapangan berada di rumah bersama keluarga? Tambahan, sedang bersenang-senang selepas sarapan pagi nasi goreng kampung dan bijirin (coco crunch); 'fusion breakfast'. Makanya, pemikir pun terfikir betapa pemikir sudahpun menyediakan sarapan pagi gabungan melayu dan inggeris. Nak ditambah lagi, anak perempuan pemikir ni suka sangatlah makan 'scrambled egg'. Pagi, petang, siang, malam boleh makan makanan kegemarannya tu. Maknanya, transformasi budaya telahpun berlaku. Budaya adalah kelaziman yang dipraktikkan seharian. Dalam Islam pun kita ada istiqamah. Perbuatan yang diulang berkali-kali akan menjadi kebiasaan dan akhirnya membentuk budaya.
Berbalik kepada soalan pemikir tadi. Cukup patriotikkah kita ni? Pemikir terfikir tentang kenapa ada manusia yang sanggup 'menggadaikan' bangsa dan negara kepada orang lain untuk kepentingan dirinya. Pemikir tak mahulah memberi komen lanjut tentang alkisah mereka ni. Paling bangsat, dapat dosa kering saja la kan. Pemikir cuba nak melontarkan beberapa soalan sahaja. Pemikir sendiri tidak tahu bagaimana untuk menjawab soalan-soalan ini. Cuma, fikir-fikirkanlah...

Cukup patriotikkah kita sekiranya...
  1. kita hanya menggunakan kereta tempatan (walaupun bukan 100% teknologi tempatan)?
  2. kita hanya membeli barangan buatan Malaysia?
  3. bercakap Bahasa Malaysia sahaja setiap kali bertutur semasa berada di dalam negara?
  4. mendengar lagu-lagu/radio tempatan sahaja?
  5. menonton wayang cerita tempatan?
  6. menyanyikan lagu Negaraku setiap pagi selepas bangun dari tidur?
  7. kita hanya menjelajah tempat-tempat menarik di negara kita sahaja?
  8. kita hanya membeli bahan bacaan bertulisan Melayu sahaja?
  9. mempunyai idola dalam kalangan rakyat tempatan?
  10. makan makanan tradisi sahaja?
  11. tidak memburuk-burukkan negara sendiri?
  12. tidak bersekongkol menjatuhkan pemimpin negara?
Banyak lagi soalan yang boleh diutarakan. Namun, jawapan bagi setiap soalan di atas bukanlah berbentuk ya atau tidak. Jawapan-jawapan bagi setiap persoalan itu lebih subjektif dan kritis. Pada pendapat pemikir, menjadi patriotik adalah sikap manusia. Sedikit sebanyak sikap ini disemai, ditanam, dibaja dan dijaga oleh ibu bapa sejak kita lahir. Pokoknya adalah kita sekarang. Patriotisme ada kaitan dengan jati diri yang kuat. Jati diri inilah yang menjadi iman dalam patriotisme. Sebagai manusia yang hidup berlandaskan hukum dan peraturan agama, jati diri perlu seiring dengan akidah Islam. Nescaya, campaklah ke laut manapun, humbanlah ke gaung manapun, terbanglah di langit manapun, kita pasti selamat di dunia dan yang penting di akhirat. Sikap manusia senantiasa berubah mengikut perubahan persekitaran seperti aktiviti harian, teknologi, keadaan ekonomi dan taraf pendidikan. Lihat sekeliling kita, dan nilaikan sebanyak mana semangat patriotsme kita sendiri.
Kita sedang melalui era globalisasi yang memperlihatkan kita dengan ledakan perkembangan teknologi maklumat. Manusia yang mempunyai ilmu teknologi maklumat yang tercanggih akan menguasai dunia. Milenium ini kita melihat Bill Gates dan Mark Zuckerberg menguasai dunia. Percayalah 1000 tahun lagi, kita tidak akan tahu kuasa apa yang akan menakhluki dunia.

Monday, December 6, 2010

Doa Awal Tahun dan Akhir Tahun

Doa Akhir Tahun dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah.
Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata
“Kesusahan bagiku dan sia-sia lah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan
aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa ini, Allah ampunkan dosanya setahun”

Berikut adalah Doa Akhir Tahun

doa-akhir-thn0.jpg

Maksudnya:

Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu.

Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah! Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.
Barangsiapa yang membaca doa akhir tahun ini, maka syaitan akan berkata:
“Hampalah kami di sepanjang tahun ini”.

-
Doa Awal Tahun dibaca 3 kali selepas maghrib pada malam satu Muharram. Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata
“Telah amanlah anak Adam ini daripada godaan pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan
dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah Syaitan”.

Berikut adalah Doa Awal Tahun

doa-awal-thn0.jpg

Maksudnya:

Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.

Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.

Saturday, December 4, 2010

Amalan Solehan

Betulkan Persepsi “Amalan Solehan”
Apabila mengkaji tentang "otak", Al-Quran memberi penjelasan yang amat menyeluruh dan lengkap. Al-Quran menjelaskan bahawa persepsi adalah penting untuk merubah sesuatu kaum. Maka kita akan mengambil sedikit masa untuk menerangkan serba sedikit tentang pentingnya membetulkan "persepsi" untuk memperkasakan ummah. Al-Quran menjelaskan betapa pentingnya umat Islam berpegang kepada konsep "amalan solehan" yang betul.

Tema musabaqah tilawah Quran 2010 “Mengukuhkan Ukhwah, Perkasakan Ummah” adalah satu tema yang amat baik dan relevan untuk membetulkan kembali keadaan umat Islam. Al-Quran menjelaskan untuk memperkasakan ummah, maka umat Islam mestilah membetulkan persepsi dalam minda mereka, sebab Al-Quran menegaskan “Allah tidak akan merubah sesuatu kaum sehingga kaum itu merubah apa yang ada dalam diri mereka". Yang perlu diubah ialah persepsi umat Islam terhadap konsep amalan solehan.

Konsep Amalan Solehan
Konsep amalan solehan ialah konsep penambah-baikkan atau continuous improvement atau di Jepun dikenali dengan Kaizen. Ianya bukan konsep "amal kebajikan" atau konsep "kuat beribadat" seperti yang difahami oleh ramai umat Islam. Orang yang kuat beribadat ialah "orang bertaqwa". Makna perkataan "soleh" adalah asal dari "solaha atau aslaha" yang bermakna "memperbaikki" atau "memperelokkan", dan bukannya membuat kebajikan (charity work) atau kuat ibadat.

Semua nabi-nabi yang diturunkan kepada setiap umat manusia adalah untuk melakukan amal soleh, untuk melakukan penambah-baikkan dan bukannya untuk melakukan amal kebajikan. Nabi-nabi datang untuk memperbetulkan (memperbaiki) sesuatu kaum yang sudah rosak seperti menyembah berhala, membunuh anak, memakan riba, menipu timbangan dan sebagainya. Nabi-nabi tidak diturunkan untuk membuat amal kebajikan seperti membuat jamuan hari raya secara besar-besaran, menganjurkan gotong-royong perdana, memberi subsidi, memberi mega projek, dan sebagainya.


Di dalam Al-Quran, Allah SWT telah menetapkan syarat bahawa hanya orang-orang yang melakukan amalan soleh (melakukan penambah-baikkan) sahaja yang dapat “Memperkasakan Ummah”, yang dapat menjadi khalifah, dan mempertahankan agama Islam.


Memperkasakan Ummah
Dalam surah An-Nur 24:55, Allah telah menjelaskan bagaimana untuk memperkasakan ummah, Allah SWT berjanji bahawa hanya orang-orang beriman (berfikir secara deduktif) dan beramal soleh (yang melakukan penambah-baikkan) sahaja yang dapat memerintah dunia, yang dapat mempertahankan agama Islam, dan yang dapat mengeluarkan ketakutan kepada keamanan. Kenapa orang Yahudi yang hanya berjumlah kira-kira 15 juta orang dapat memerintah dan mengawal dunia sedangkan umat Islam yang banyak seperti buih (kira-kira 1.6 bilion orang) tidak mampu berbuat apa-apa sehinggakan untuk menghantar barang bantuan makanan ke Gaza pun kena halau askar Israel?

Cuba lihat dan kaji siapa yang mereka-cipta komputer, telefon, kapal perang, bom nukluer dan sebagainya? Kenapa umat Islam tidak mampu mempertahankan diri? Kenapa Allah tidak makbul doa umat Islam sekarang? Adakah Allah telah memungkiri janji atau umat Islam tidak lagi mengerjakan amal soleh? Atau adakah umat Islam silap faham terhadap konsep dan kahendak “amal soleh”?

Tukar Persepsi Umat Islam
Kalau umat Islam bersungguh-sungguh mahu memperkasakan ummah, maka pertama sekali kita mestilah menukar persepsi kita terhadap konsep dan kahendak “Amalan Solehan”. Misalnya, setiap kali bangun pagi kita mesti berfikir tentang penambah-baikkan yang hendak dilakukan. Misalnya bagaimana untuk menambah-baik penggunaan masa, menambah-baik hubungan keluarga/persahabatan, menambah-baik proses kerja, menambah ilmu di dada, dan sebagainya. Amal soleh (kerja penambah-baikkan) mestilah dijadikan sebagai KPI bukannya visi (cita-cita), sebagai garis-panduan melakukan aktiviti harian, dan sebagai penanda aras setiap usaha.


Al-Quran amat memberi penekanan yang tinggi tehadap konsep amalan solehan sehinggakan Al-Quran mengajar apakah lawan kepada konsep amalan solehan agar umat Islam betul-betul faham dan tidak keliru dengan konsep yang penting dan hebat ini.


Al-Quran menjelaskan pada ayat 2:11 Surah Al-Baqarah lawan (antonim) kepada amalan solehan ialah “amalan fasadan”, iaitu amalan perosakkan atau pemusnahan, amalan buruk dan keji yang dibenci dan dikutuk oleh manusia dan seluruh alam, seperti amalan rasuah, membuang masa, mengumpat, mencela, bersekedudukkan, membuang (membunuh) anak, hisap dadah, menderhaka ibu-bapa, ponteng sekolah, dan sebagainya.


Ayat ini juga menjelaskan tentang orang-orang munafik yang dinasihatkan supaya jangan melakukan bencana dan kerosakkan, namun mereka menjawab mereka melakukan penambah-baikkan. Cuba perhatikan, perkataan "fasad" (tufsidu) dan "soleh" (muslihun) adalah dua perkataan utama (yang membawa maksud berlawanan) dalam ayat ini. Inilah kehebatan kaedah Al-Quran, selain dari memberi nasihat dan tunjuk-ajar, ianya juga memberi definasi dan penjelasan kepada sesuatu perkataan, terma, atau konsep. Maka dengan ini kita faham bahawa konsep orang-orang soleh ialah orang-orang yang tidak melakukan kerosakkan dan kemusnahan, dan merupakan orang-orang yang sentiasa melakukan penambah-baikkan.

Kekuatan Islam pada konsep Amalan Solehan
Allah SWT menjadikan kekuatan manusia terletak pada minda dan persepsi, pada kepercayaan dan keyakinan diri terhadap konsep “amalan solehan”. Lihatlah kepada kekuatan orang-orang yahudi; mereka mengamalkan konsep amalan solehan (continuous improvement). Mereka adalah bangsa hebat dan digeruni. Mereka menambah-baik peralatan senjata, menambah-baik alat-alat perhubungan, dan sebagainya. Begitu juga bangsa Jepun yang menggunakan konsep Kaizen menjadikan mereka ummah ke-dua terbaik di dunia.


Orang-orang Jepun menambah-baik kereta supaya menjadi lebih murah, lebih jimat minyak, lebih tahan lama, lebih mudah dibaiki, dan sebagainya. Tetapi kebanyakkan umat Islam membelanjakan beribu-ribu ringgit untuk memasang sport-rim, side-skirt, spoiler, dan TV/stereo sistem pada kononnya "penambah-baikkan". Perbuatan seperti ini tidak dikira penambah-baikkan sebab ianya membuatkan kereta itu kurang stabil, kurang selamat, malah merupakan satu pembaziran.

Samalah juga dengan menukar ekzos besar atau yang berbunyi nyaring bukanlah amalan solehan tetapi amalan fasadan, amalan perosakkan sebab ianya mencemar alam sekitar dengan mengeluarkan bunyi yang bising. Begitu juga dengan duduk di dapur dari pagi sampai ke malam memasak berpuluh jenis lauk-pauk (untuk dimakan keluarga sendiri) bukanlah kerja solehah malah satu pembaziran; pembaziran wang, masa, tenaga, kesihatan, dan sebagainya.


Sekiranya umat Islam mahu diperkasakan, mahu kembali memerintah dunia maka mereka mesti kembali kepada Al-Quran, mesti merubah pandangan dan persepsi “amalan solehan”: Amalan solehan adalah kerja penambah-baikkan (continuous improvement) dan bukannya kerja kebajikan (charity work).

Peminat Maher Zain...


Saya memang meminati bidang muzik. Muzik menjadi sebahagian daripada hidup sehari-hari saya. Mungkin itu sahajalah hiburan saya yang paling 'liar'. Mungkin pada insan lain, mereka berhibur dengan menonton wayang, bermain bowling atau pergi ke kelab-kelab dengan tujuan bersuka-ria, namun untuk insan seperti saya, semua itu adalah sangat jauh... Hmm.. mungkin saya seorang yang membosankan...
Kali ini saya ingin berkenalan dengan penyanyi kelahiran Tripoli, Lebanon ini. Maher Zain yang dilahirkan pada tahun 1981 ini menjadi sangat terkenal walaupun membawakan lagu-lahu berbentuk kerohanian dan nasyid. Baru sahaja melahirkan album pertama berjudul 'Thank You Allah' dan dilancarkan pada 1 November 2009. Percaya atau tidak Maher Zain mempunyai ijazah dalam bidang Aeronautical Engineering. Maher Zain boleh dikatakan sangat berjaya kerana dalam tempoh tidak sampai setahun dalam industri nyanyian, lagunya telah berkumandang di seluruh dunia. Agaknya mengapa ya? Mengapa lagunya boleh diterima masyarakat dunia? Kenapa saya menerima lagunya? Pada saya melodi lagunya sungguh indah dan menyentuh jiwa, malahan sangat relevan dengan aliran muzik masa kini. Lirik lagunya sangat bermotivasi dan mudah untuk dikaitkan dengan setiap manusia. Boleh dikatakan terasa seperti sangat rapat dengannya dan mendekatkan kita dengan Allah. Saya sukakan suaranya, 'projection'nya jelas dan merdu (tidak menyakitkan telinga). Anda mungkin meminatinya kerana wajah kacaknya... tak mustahil kan?
Antara lagu kegemaran saya pastinya Always Be There, Insya Allah dan Barakallah.

Thursday, December 2, 2010

Mencari pasangan jiwa...

Ramai yang menyebut 'soulmate'... Saya menyebut pasangan jiwa...
Siapakah pasangan jiwa kita?
Wujudkah pasangan jiwa?
Pasangan jiwa bersifat subjektif.
Adakah pasangan jiwa wajib menjadi pasangan hidup kita?