Pemikir Amatur?

Semua orang berfikir, saban saat, saban waktu, dalam tidur dalam jaga. Kenapa tidak? Pemikir suka melayan pemikiran sendiri. Kenapa amatur? Kerana bukanlah diri ini cendekiawan, ilmuwan atau pun sasterawan. Namun begitu, ada sesetengah perkara, janganlah difikirkan sangat...

Apabila anak tidak betah lagi duduk di dalam rumah sahaja.

Saya tidak tahu apa yang anda fikirkan. Tapi saya tahu apa yang saya fikir hari ini. Sebagai suri rumah sementara, hari ini saya hanya memikirkan tentang kemaslahatan anak-anak. Sementelah suami tiada di rumah, mereka adalah tanggungjawab saya sepenuhnya. Mereka sudahpun menjadi kanak-kanak sekolah rendah. Sudah tiba masanya mereka tidak betah berada di dalam rumah seharian. Berbeza semasa mereka masih bayi dahulu. Mereka hanya menangis kerana lapar, sakit atau badan tidak selesa. Mereka ketawa mungkin kerana mentertawakan kita kerana membuat riak wajah lucu. Kita menganggap bayi-bayi ini tidak faham kan? Tetapi setelah berumur 6 tahun ke atas, saya tidak dapat mencari alasan untuk tidak membenarkan mereka berada di dalam rumah sahaja. Seingat saya, zaman saya berumur sedemikian, saya sudahpun berkubang di dalam paya, memanjat bukit dan menaiki basikal keliling kampung. Oleh yang demikian, saya sudah mula membenarkan mereka keluar rumah bermain di rumah kawan atau taman permainan terdekat dengan beberapa syarat:-
1.  Pergi ke tempat yang dijanjikan sahaja. Kalau hendak ke rumah rakan, saya perlu tahu nama dan
     alamatnya. Biasanya saya hanya benarkan ke rumah kawan yang dekat-dekat dengan kawasan rumah 
     sahaja.
2. Memberi tempoh masa mereka boleh berada di tempat tersebut. (Biasanya 1 jam ke 2 jam sahaja)
3. Berhati-hati ketika melintas jalan. (Saya telah mengajar cara-cara melintas yang selamat)
4. Si Abang perlu sentiasa menjaga Si Adik. Jangan biarkan adik ke tempat lain sendirian.

Cukuplah dengan 4 syarat ni kan.